Links

Wednesday, July 14, 2010

Isma pertaruh irama belada

PERJALANAN karier seni bintang realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini, Ismaliza Ismail, 31, atau Isma mungkin dianggap bertuah berbanding rakan seangkatan yang lain.
pix_middle
sebelum  -  selepas


Isma mendapat tunjuk ajar suami yang juga artis, Zulkefli Majid atau Zul 2 By 2 dan kini dilamar syarikat rakaman Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP).

Sebelum ini Isma menimba pelbagai pengalaman sepanjang setahun berada di bawah pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).

Katanya, dia sudah bersedia membawa haluan sendiri dengan menyertai HHP yang diusahakan bekas pelajar AF juga.

"Selepas keluar dari AESB pada April lalu, saya mengambil keputusan menyertai HHP kerana kontrak dan syarat yang ditawarkan cukup menarik. Apabila bersama pengurusan HHP, saya berasakan tanggungjawab lebih besar sebagai antara artis terawal yang bernaung di bawah syarikat itu.

"Saya percaya pihak pengurusan HHP mempunyai strategi tersendiri dalam industri seni. Saya tidak menganggap karier seni semakin terbatas selepas keluar dari AESB.
"Pada saya rezeki ada di mana-mana. Tidak timbul langsung isu ada segelintir pihak yang tidak berani untuk menawarkan persembahan kepada saya. Hubungan saya dengan Astro juga sangat baik, malah jika ada kelapangan, saya sering menyertai pelbagai aktiviti dalaman yang dianjurkan stesen televisyen itu.

"Kini di bawah HHP, alhamdulillah, aktiviti seni dan undangan menjayakan persembahan berjalan lancar," katanya.
Isma yang hadir bersama Zul ketika sesi fotografi di Studio Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, memaklumkan khabar gembira mengenai taruhannya melalui single Aku Bukan Pilihanmu, lirik dan lagu ciptaan Mohd Atlas.

Kakak kepada penyanyi Tomok yang juga juara program realiti One In A Million (OIAM) ini percaya lagu berentak balada mempunyai kekuatan tersendiri biarpun menampilkan karya komposer baru.

Malah, akui Isma, impian menyanyikan lagu balada menjadi kenyataan apatah lagi genre itu dikatakan cukup sesuai dengan penampilannya.

"Saya memang suka menyanyi lagu balada. Sebaik saja mendengar melodinya, saya seronok dan tidak sabar untuk menyanyi. Lagu berkenaan juga cukup sesuai dengan saya. Rakaman juga berjalan lancar.

"Walaupun masih baru, Mohd Atlas berbakat besar. Saya selesa bekerja dengannya dan percaya lagu berkisar kepada percintaan yang terputus di tengah jalan ini mudah diterima peminat. Lirik lagu juga mempunyai kekuatan tersendiri.

"Alhamdulillah selepas disiarkan di radio, lagu ini mendapat maklum balas positif dari peminat dan pendengar. Pada saya, lagu berentak balada kurang dihasilkan sejak kebelakangan ini dan berharap lagu ini dapat mengembalikan kegemilangan irama balada," katanya.

Isma juga bekerja sebumbung dengan suami apabila Zul dilantik sebagai Pengurus Besar HHP.

Begitupun, Isma terlebih dulu menyertai HHP sebelum Zul memulakan tugas baru di sana selepas meletak jawatan di SRC sejak awal Julai lalu.

Bagi Isma, walaupun bekerja di bawah satu pengurusan yang sama, mereka cukup profesional soal kerja. Tidak timbul soal menerima layanan yang istimewa.
Sebagai pengurus di syarikat itu, layanan diberikan pada Isma tetap sama seperti artis lain.

Selain Isma antara artis yang bernaung di bawah HHP ialah Herman Tino, bakat baru, Arlyn Hafiz serta seorang lagi bintang AF, Heliza yang juga rakan kongsi syarikat berkenaan.

Isma menaruh harapan yang tinggi terhadap lagu yang dinyanyikan itu.
Penampilan bersama lagu baru diharap dapat diterima peminat, seterusnya disiarkan di semua stesen radio tempatan. Malah, dia juga menagih sokongan daripada semua pihak termasuk pihak media menerusi pembabitannya dalam dunia seni.

Ibu kepada lima anak ini tidak mahu menjadikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu membataskan aktiviti seninya. Dia perlu pandai membahagikan masa supaya tidak mengabaikan tanggungjawabnya.

"Buat masa ini memang tidak ada masalah. Tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tetap diutamakan. Biasanya persembahan membabitkan hujung minggu manakala promosi atau sesi fotografi pula dilakukan ketika anak-anak pergi ke sekolah.

"Saya sentiasa memastikan tugas di rumah dan kepada anak-anak tidak terabai. Justeru, sebelum memenuhi apa-apa undangan menjayakan persembahan saya akan memastikan segala urusan di rumah diselesaikan terlebih dulu.
"Saya juga bersyukur kerana mempunyai pembantu dan ibu mentua yang banyak membantu dan memahami," katanya.

Perancangan masa depan, Isma meletakkan single terbaru itu sebagai ukuran untuk tampil bersama beberapa lagu single terbaru seterusnya penerbitan mini album serta klip video. Jika tiada aral, HHP yang turut terbabit dalam penerbitan filem dijangka tampil dengan projek sulung tidak lama lagi yang bakal menampilkan pembabitan artis di bawah naungan HHP di layar perak.

"Selepas ini saya dan pihak pengurusan HHP akan memberi tumpuan kepada penghasilan single seterusnya. Mungkin dengan genre muzik yang berbeza. Insya-Allah jika ada rezeki saya akan menerbitkan album dan terbabit dalam bidang lakonan," katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Ismaliza Ismail
UMUR: 31 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
SUAMI: Zulkefli Majid, 38 tahun
ANAK: Muhammad Haiqal Aiman, 13, Muhammad Haiqal Aydiel, 12, Seri Aida Merlissa, 9, Seri Ayreen Merlinda, 5, dan Seri Adriana Marsella, dua tahun
PENCAPAIAN: Tempat kelima Akademi Fantasia 7
SINGLE POPULAR: Bisikan Godaan, Berbicara, Aku Bukan Pilihanmu

No comments: